Syahadah Kasih Ayah 11

12:54 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

Syahadah duduk di suatu sudut berdekatan taman sekolah. Tudung labuhnya yang ditiup angin di pegangnya. Dia kelihatan muram dan fikirannya melayang jauh.

Bunga-bunga mekar yang dilihatnya menenangkan fikirannya yang sedang kusut. Mahu sahaja dia lari daripada sekolah agama ini. Dirinya masih tidak dapat menerima kenyataan yang sekarang dia sudah lebih setahun berada disekolah agama ini.

            Dia masih teringat sewaktu pertama kali dia datang ke sekolah ini dan dia masih teringat terakhir kalinya dia marah kepada ayahnya ketika itu.

            Tiba-tiba dari kejauhan Ustazah Nurul datang menyapanya.

            “Assalamualaikum Syahadah..kenapa seorang diri di sini, kawan-kawan yang lain dimana?” tanya ustazahnya lembut.

            “eh..ustazah..waalaikumussalam. maafkan Sya, Sya nda sedar ustazah datang. Sya mau bersendirian, sebab tu ke sini.” Balas Syahadah tersenyum melihat ustazahnya yang sememangnya lemah lembut dan sentiasa berseri wajahnya. Tenang hatinya melihat ustazahnya itu.

            “oh..maaflah ustazah mengganggu Sya..” Sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Syahadah.
            “eh, nda pa ustazah” Balas Syahadah dengan senyuman.

“kebetulan kamu disini ustazah nak tanyalah, program muhasabah diri tu kamu dah beritahu ayah kamu? Ustazah bukannya apa..cuma kamu saja yang belum beritahu ustazah sama ada ayah kamu datang atau tidak.” Ustazah menyentuh bahu Syahadah lembut.

            Syahadah terdiam seketika. Mulutnya berat untuk menjawab.

            “err..belum ustazah.” Spontan Syahadah menjawab.

            “emm..kenapa belum beritahu? Bila nak beritahu?” tanya ustazahnya lagi.

            Syahadah hanya diam dan tunduk sambil kasutnya bermain-main dengan pasir.

Ustazah masih merenung Syahadah. Dalam fikirannya, dia yakin pasti ada sesuatu antara anak muridnya itu dengan orang tuanya itu.

      “Syahadah..hari tu ayah kamu ada telefon ustazah..” Syahadah terkejut, mukanya diangkat sambil merenung ustazahnya dalam-dalam.

          “emm..ayah kamu tanya khabar kamu. Sejak kamu disini, kamu tak pernah telefon ayah kamu ka?” tanya ustazah ingin tahu.

            Syahadah mendengar pertanyaan itu terus tunduk dan diam. Ustazahnya yakin memang ada sesuatu yang disembunyikan oleh Syahadah.

           “Syahadah..ustazah tak tahu apa yang kamu fikirkan dan apa yang terjadi antara kamu dan ayah kamu. Tetapi, ustazah harap kamu dapat menyelesaikan masalah itu dengan baik. Jangan kerana hal yang kecil, kamu jadi begini. Sekarang ni kamu hanya ada ayah kamu kan. Dengarlah nasihat dan jagalah hati ayah kamu baik-baik. Kasih ibu tu membawa ke syurga tetapi kasih ayah tu sepanjang masa Sya. Kamu beruntung masih punya ayah, tetapi cuba kamu lihat anak-anak lain yang sudah tidak ada ayah dan ibu. Tiada tempat untuk mereka mengadu dan mencurahkan kasih, kamu perlu bersyukur. Walau apa pun ayah kamu lakukan, itu untuk kebaikan kamu dan dia masih tetap ayah kamu. Ingat itu Sya.” Panjang lebar ustazahnya berkata-kata.

            Syahadah dapat merasakan matanya pedih dan hatinya sakit. Dia tidak tahu untuk berkata apa-apa dengan ustazahnya. Lidahnya kelu untuk meluahkan rasa hatinya ketika itu.

            “tak apalah..kamu fikirkan baik-baik. Ustazah pergi dulu ya. Oh ya, jangan lupa telefon ayah kamu beritahu tentang hal itu dan lebih baik kamu selalu telefon ayah kamu.” Ustazahnya senyum dan menepuk lembut bahu Syahadah lalu bangun meninggalkan Syahadah.

            Sejurus selepas ustazahnya pergi, air mata jatuh membasahi pipi. Sebak didadanya mula sakit menusuk ke hati. Fikirannya bertambah kusut dan dia segera berlalu daripada situ.

**********

            Selepas menunaikan solat zohor berjemaah, semua pelajar asrama Sekolah Agama bakti wajib mendengar tazkirah daripada ustaz Syafie.

            Syahadah duduk bersimpuh mendengar tazkirah daripada ustaz. Sesekali mulutnya mengalun zikir memuji Ilahi dan tangan pantas mengira tasbih.

            “hari ini ustaz hanya bagi sedikit pengisian. Ustaz nak kamu dengar baik kata-kata ini.” semua pelajar mula diam dan ustaznya mula membuka bicara.

“Ayah dan ibu mengajar kita tentang erti setia dan kasih sayang tidak bersyarat yang perlu ada dalam keluarga.

Ayah mengajar kita erti sabar dalam kekurangan, menghargai nikmat Allah walau sekecil apapun.

Ayah mengajar kita bahawa impian yang benar itu tidak mustahil dicapai.

Ayah mengajar kita jangan lupa diri kerana semua yang ada itu hanya milik Allah.

Ayah mengajar kita bahawa nasib malang itu bukan untuk ditangisi berhiba-hiba tetapi untuk dijadikan pemangkin bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna.

Ayah dan ibu meyakinkan saya di setiap kesulitan itu pasti ada kesenangan. Peritnya kehidupan mengajar yang miskin jangan dihina yang kaya usah disanjung, yang berkuasa usah dijulang.

Kisah suka-duka bersama ayah mengingatkan kita jangan biarkan masa berlalu tanpa berbakti pada orang tua, takut nanti tidak sempat melakukannya dan Allah memanggilnya ditengah kelalaian kita..”

“ustaz harap kamu hayati kata-kata itu dan memahaminya, baiklah semua boleh balik ke bilik. Jangan lupa solat asar berjemaah ya.” Pelajar mula beredar dan menuju ke bilik masing-masing.

Syahadah masih duduk diam di dalam surau, kata-kata ustaznya tadi dia hayati dalam-dalam. Banyak yang membuatkan dia sedar hari itu. Dia keluar dan pergi ke biliknya.

Di biliknya, dia duduk termangu sambil tangannya memegang handphone. Sejak tadi dia hanya merenung handphone itu tanpa menekannya, hatinya masih berbelah-bagi. Beberapa minit kemudian jari jemarinya mula bergerak menekan butang-butang di handphonenya.

Nombor telefon rumahnya dia pilih dan terus menekan butang hijau. Dia menunggu dan panggilannya mula disambut.

“Assalamualaikum..” terdengar suara ayahnya dihujung talian.

Syahadah terkedu. Dia sukar memulakan bicara selepas mendengar suara ayahnya.

“Syahadah ka tu?” ayahnya bertanya.

“err. Iya. Syahadah ni. Ayah apa khabar?” tergetar suara Syahadah.

“alhamdulillah ayah sihat. Sya macam mana? Sihat?” balas ayahnya.

“baik. Sya baik saja. Emm.. ayah, maafkan Sya..Sya langsung nda call ayah.” Syahadah bersuara lagi.

Ayahnya terdiam seketika dihujung talian sebelum mula bersuara.

“nda apa. Ayah faham. Sya sudah makan? Jangan nda makan ya.”

Syahadah mula ingin menangis tetapi ditahan.

“Sya sudah makan. Ayah jangan risau. Emm..ayah, sabtu ni ada program muhasabah diri. Ayah datang ya.” Perlahan suara Syahadah memberitahu.

“oh yaka..insha-Allah ayah datang. Macam mana pelajaran Syahadah..okey ka?” ayahnya bertanya lagi.

“okey saja..emm..ayah, Sya ada perkara mau buat ni. Nanti kita jumpa sabtu ni ya. Assalamualaikum ayah. Kirim salam dengan kakak ya” Syahadah sudah tidak boleh meneruskan kata-kata, suaranya mula bergetar. Dia cepat-cepat mematikan talian telefon tanpa mendengar jawapan dari ayahnya.

Syahadah meletakkan handphonenya di atas katil. Dia mengeluh panjang. Matanya yang berair dia cuba sembunyikan. Sakit kepalanya mula terasa. Dia baring dikatilnya dan terus terlelap.

Syahadah bangun setelah dikejutkan oleh kawan sebiliknya untuk solat asar berjemaah. Syahadah bangun dengan matanya yang bengkak akibat menangis. Dia membasuh muka, memakai tudung dan mengambil telekungnya menuju ke ruang solat disurau.


**********

Hari yang ditunggu sudahpun tiba. Program Muhasabah diri peringkat Sekolah Agama Bakti mula berlangsung.

Syahadah kelihatan gelisah. Matanya liar melihat sekeliling menunggu kelibat ayahnya.
“ayah datang ka ni?” bisik hati Syahadah.

Beberapa minit kemudian, ayahnya muncul. Syahadah melihat ayahnya dengan perasaan yang bercampur baur. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ayahnya. Sudah lama sentuhan tangan ayahnya itu dia tidak rasa. Hangatnya masih sama.

Ayahnya mengusap-usap kepala Syahadah. Ayahnya tidak mampu menyembunyikan rasa rindunya dengan anak gadisnya itu.

Satu perasaan muncul dihati Syahadah. Dia tidak menyangka ayahnya berbuat begitu. Selama ini ayahnya tidak pernah mengusap kepalanya. Dia terharu.

“besar sudah anak ayah ni,” sambil mengusap kepala Syahadah. Mereka tidak sedar mereka diperhatikan oleh beberapa mata.

Syahadah hanya diam dan senyum.

Syahadah membawa ayahnya duduk di satu kerusi yang sejak tadi dia sudah sediakan untuk dia dan ayahnya. Mereka duduk dan hanya mendiamkan diri.

Beberapa jam kemudian, program bermula.

Bacaan doa dan ucapan kata-kata aluan dimulakan dan majlis terus dirasmikan oleh pengetua sekolah Agama itu.

Program itu berlangsung dengan baik. Sepanjang program itu Syahadah dan ayahnya mula kelihatan mesra. Disudut hati Syahadah, dia sudah boleh menerima ayahnya.

“sekarang ni kita masuk ke slot penghayatan, ibu bapa dan pelajar di minta duduk bersama,” pengacara majlis memberikan arahan. Masing-masing mengambil tempat, begitu juga dengan Syahadah dan ayahnya.

Ustaz Haikal mengambil tempat dihadapan. Dia yang akan mengetuai slot tersebut. Para peserta mendengar dengan penuh teliti.

“tuan-tuan dan puan-puan serta pelajar-pelajar yang saya hormati sekalian. Slot sekarang ini bertajuk ‘ayah’. Para ibu jangan cemburu, sekejap lagi ada slot untuk para ibu,” Para ibu peserta ketawa mendengar kata-kata Ustaz itu.

Syahadah pula kelihatan tunduk. Dia melihat ayahnya disisi kelihatan tenang dan hanya tersenyum. Ayahnya jarang sekali senyum.

Ustaz Haikal bersuara lagi. “para pelajar diminta menghayati dan menjiwai perkongsian ini”.

Kemudian sebuah lagu instrumental bertajuk ‘Ayah’ dimainkan dan jelas berkumandang di seluruh dewan itu.

Ibu bapa dan pelajar kelihatan tunduk sambil menghayati lagu tersebut.

Syahadah yang sejak tadi tunduk, terus mengangkat muka memandang wajah ayahnya. Ayahnya masih tenang, tetapi matanya kelihatan merah.

Ustaz Haikal mula menyusun kata-kata sambil diiringi alunan muzik yang dapat menyentuh setiap jiwa yang berfikir.

“kasih seorang ayah tak nampak di mata..
Siapa yang masih mempunyai ayah?
Siapa yang sudah tiada ayah?
Kepada mereka yang masih mempunyai ayah, hargailah ayah kamu.
Kepada mereka yang sudah tiada ayah, sedekahkanlah pahala kepada beliau dan kasihlah pada ibu.
Kita sebenarnya bertuah!
Para pelajar dihadapan saya yang masih punya ayah atau ibu patutnya bersyukur.
Betapa ramai insan yang sudah kehilangan ayah, bahkan tidak dapat kasih sayang seorang ayah. Kita patut bersyukur!”
“tidak kira ayah atau ibu..
Mereka tidak meminta se sen pun daripada kita.
Mereka hanya nak kita hormat mereka, kasih mereka, dengar cakap mereka, taat mereka dan hidup dalam keadaan harmoni dengan adik-beradik. Itu saja!
Kita takkan dapat membalas jasa mereka. Bagilah gunung emas sekalipun. Takkan bernilai!
Terimalah ayah kita seadanya.
Kita nak ayah kita jadi ustaz?
Kita anak ayah kita jadi orang kaya?
Kita nak ayah kita jadi doktor?
Kita nak ayah kita jadi adun atau YB?
Kita nak ayah kita jadi seperti ayah orang lain?
Tidak akan boleh! Ayah kita tetap ayah kita. Terimalah ayah kita seadanya. Jangan disebabkan kesilapan ayah kita yang sedikit, itu membuatkan kita benci pada dia. Sedangkan silap kita ini kalau dikira lagi banyak!
Tiada sudah orang macam ayah kita.
Sorang itu ja ayah kita.
Hilang dia tiada berganti
Hargailah dia sebelum ditarik nyawa.”

Ustaz mengakhirkan kata-katanya. Alunan lagu dimatikan. Syahadah tunduk diam, begitu juga ayahnya. Mata Syahadah berkaca dan air matanya laju mengalir dipipi. Dadanya sebak. Tangisnya semakin teresak-esak. Dia tidak dapat mengawal tangisannya.

Ayahnya memandang Syahadah yang sedang menangis teresak-esak. Dia memegang bahu Syahadah sambil mengusap-usapnya perlahan-lahan.

Syahadah merasakan sentuhan ayahnya. Dia memandang ayahnya dengan air mata yang sedang mengalir dan matanya yang merah. Lalu dia mengambil tangan ayahnya, mengenggam dengan kuat dan mencium lama tangan ayah.

Syahadah tidak boleh berkata-kata. Lidahnya keluh dan dadanya semakin sakit. Ayahnya hanya memandang anak gadisnya itu sambil memegang kepalanya lembut.

“sudahlah tu..” ayahnya bersuara.

Syahadah tanpa berfikir, dia terus memeluk ayahnya dengan kuat sambil menangis teresak-esak dia bersuara.

“ayah..Sya minta ampun, minta maaf dengan ayah. Banyak dosa Sya dengan ayah. Syahadah yang bodoh dan jahil tidak berfikir. Syahadah sebenarnya tidak benci dengan ayah. Syahadah cuma malu dengan diri Sya sendiri. Maafkan Sya Ayah..” suaranya bergetar, tangisannya semakin banyak.

“ayah selalu maafkan anak-anak ayah. Ayah nda ambil hati pun semua yang Sya lakukan dengan ayah. Ayah Cuma mau Sya berubah..jadi anak perempuan ayah yang baik,” ayahnya bersuara perlahan sambil mengusap-usap kepala Syahadah.

“baik ayah. Mulai dari sekarang Sya akan cuba menjadi anak yang solehah dan anak yang mendengar kata ayah.” Balas Syahadah dengan air mata.

Ayahnya sejak tadi kuat menahan sebak akhirnya tewas dengan air mata. Ayahnya memeluk Syahadah dengan kuat namun mampu tersenyum. Dia bersyukur kepada Allah, akhirnya doanya selama ini dikabulkan oleh Allah SWT.

“Syahadah kasih ayah” bisik Syahadah ditelinga ayahnya.

Ayahnya tersenyum dan air matanya terus mengalir.

Peristiwa itu merupakan peristiwa yang paling diingati oleh Syahadah kerana telah menyatukan dua hati yang saling menjauh dan kini bersatu kembali.

                “ustazah...ustazah..!

Bersambung...




You Might Also Like

0 comments