Syahadah Kasih Ayah (1)

12:43 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

“ustazah Sya..ustazah..!”

Cikgu Nisa berlari anak memanggil syahadah, sambil tangannya memegang sebuah fail yang agak tebal isinya. Pandangannya melihat terus pada gadis kecil molek itu dan berharap agar laungannya didengar oleh gadis itu.

Kelihatan seorang gadis bernama Syahadah yang berbangsa Dusun Islam. Baik, sopan, manis dan kecil orangnya. Bertudung labuh dengan senyuman yang sentiasa menghiasi wajah ayunya. Syahadah dihormati dan disegani oleh setiap guru dan pelajar di Sekolah tersebut kerana sikapnya yang peramah dan sopan santun apabila berbicara dengan orang disekelilingnnya. Namun, syahadah merupakan seorang yang rendah diri kerana dia lebih suka dan selesa sekiranya mereka memandangnya dan melabelkan dia sebagai seorang yang biasa-biasa sahaja.

Syahadah menoleh setelah mendengar namanya dipanggil. Sambil tersenyum syahadah menghentikan langkahnya dan cikgu Nisa semakin mendekatinya.

“huuh...hang ni kalau berjalan memang laju. Susah nak akak kejaq. Cuba habaq mai sat , sebelum ni hang pernah ikut olimpik lumba lari ke?..” Cikgu Nisa cuba bergurau dengan loghat penangnya yang pekat.

Cikgu Nisa sudah dianggap oleh Syahadah seperti kakaknya sendiri. Masih dia ingat, hatinya risau apabila mendapat surat tugas mengajar di Semenanjung Malaysia kerana belum pernah dia menjejakkan kaki ke situ sepanjang hidup berada di Negeri Bawah Bayu. Lebih-lebih lagi diminta mengajar pelajar bandar di sana. Tetapi, pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu, cikgu Nisa lah yang banyak membantunya sepanjang bergelar guru di sekolah itu dan membuatkan dia lebih yakin dan selesa sepanjang tugasnya mengajar. Apatah lagi cikgu Nisa merupakan seorang yang ceria dan membuatkan Syahadah senang untuk mendekatinya. Boleh dikatakan, dialah penyeri bilik guru setiap hari dengan lawak jenaka yang diceritakannya. Tetapi, sangat ditakuti oleh setiap pelajar sekolah tersebut kerana sifatnya yang tegas dan garang dengan pelajar-pelajar.

“hahaa..akak ni buat lawak lagi. Tak habis-habis lagi ke lawak di bilik guru tadi..” Mereka berdua ketawa.

“oh ya, ada perkara pentingkah akak cari saya ni? Waktu dibilik guru tadi, awat tak habaq mai kat cek..” Syahadah mengajuk cakap loghat penang kepada cikgu Nisa.

“hahaa..amboi hang ni, geli cheq dengaq orang sabah cakap penang..hahaa..tunggu sat na. Nii ha...lupa pula akak nak bagi kat Sya awal pagi tadi. Sebenarnya, waktu di bilik guru memang nak habaq mai kat hang, tapi..sebab terlampau buat lawok..perkara penting apa pun akak dah tak ingat..hehe.”

cikgu Nisa ketawa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Syahadah hanya tersenyum melihat gelagat cikgu Nisa. Dia sangat suka mendengar loghat penang cikgu Nisa. Lebih tiga tahun berada di Pulau Pinang ini membuatkan dia dapat belajar dan memahami lenggok bahasa orang-orang disana.

“lagu ni Sya, akak nak bagi fail laporan kewangan Program Muhasabah diri ni kat Sya, minta maaflah lambat akak bagi dengan Sya, banyak hal lain nak settle, kalau boleh Sya tolong periksa laporan ni baik-baik ya, risau ada yang tersilap..lagipun program ni akan berlangsung tak lama lagi..boleh ke??”

“oh..tak apa kak..boleh bah, kalau saya dah periksa laporan ni, nanti saya bagi dengan akak secepat yang mungkin ya. insyaAllah..saya dah lambat ni kak, nak mengajar, masa rehat nanti kita sembang lagi ya,”

“okey, jazakillah khairan ya ustazah yang baik orangnya, manis pula tu, untunglah siapa yang dapat,”

“amboi...akak ni...mesti ke bab tu, okeylah saya minta diri dulu ya, Assalamualaikum,” Syahadah tersenyum manis.

“ek eleh..malulah tu. Hehee. Okey, waalaikumussalam..”
kedua-dua mereka beredar. Syahadah menuju ke bilik darjah Tingkatan 4 Selasih dengan penuh yakin dan memulakan pengajaran. Gurauan cikgu Nisa masih terngiang-ngiang dibenak fikirannya, membuatkan senyumannya masih lekat dibibir.

**********
“bangun...assalamualaikum ya ustazah”

“waalaikumussalam. Terima kasih, boleh duduk” terukir manis senyuman dibibir Syahadah.

Bergema suara pelajar tingkatan 4 Selasih pagi itu. Syahadah terus memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran pagi itu.

“hari ni kita belajar aqidah tajuk kecil dosa-dosa besar yang mesti dihindari. Ustazah nak kamu buka buku teks muka surat 25.” Seraya Syahadah memberi arahan.

“sebelum tu ustazah nak tanya. Apa maksud dosa?” Syahadah menyoal pelajarnya, sambil ditangannya memegang sebuah buku teks.

“tidak patuh dengan Allah ustazah!..balasan buruk daripada Allah ustazah!..” satu persatu pelajar menjawab soalan dengan penuh yakin. Keadaan bilik darjah ketika itu riuh dengan suara pelajar-pelajar yang aktif dalam menjawab soalan.

“wah..alhamdulillah! pandai murid-murid ustazah. Semua yang kamu cakap tu memang betul. Tapi, semasa peperiksaan nanti, ustazah nak kamu tulis apa yang ustazah baca ni ya”

Syahadah meneliti buku teks dan buku rujukan pendidikan Islam dan kelihatan ada pelajar yang baru sahaja mengeluarkan pensil dan buku untuk membuat nota ringkas dan ada juga yang sudah bersedia untuk menulis.

“baik, erti dosa ialah balasan buruk kerana tidak patuh kepada perintah Allah SWT dan melanggar larangannya. Dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dosa besar bermaksud kesalahan yang diberi amaran oleh Allah dengan azab yang keras di Akhirat atau kesalahan yang diperuntukkan hukuman yang tertentu di dunia. Dosa kecil pula ialah kesalahan yang tidak diberi amaran azab yang keras di Akhirat dan tidak diperuntukkan hukuman yang tertentu di dunia,”

Syahadah membaca maksud dan jenis dosa dengan kadar perlahan yang boleh ditulis oleh pelajar dan pelajar menulis dengan penuh teliti dan khusyuk. Sesekali Syahadah melihat setiap barisan pelajar.

“ok, semua dapat tulis tak..apa yang ustazah beritahu tadi? Faham tak?”

“dapat dan faham ustazah!” jawab pelajar.

“alhamdulillah. Pandainya anak-anak murid ustazah ni. Jadi, siapa yang boleh beritahu ustazah, apa contoh dosa-dosa besar. Haah..Hafiz, boleh beritahu ustazah dan kawan-kawan yang lain contoh dosa besar?” Syahadah menyuruh pelajarnya Hafiz menjawab soalan kerana melihat dia begitu tekun membaca buku teks di atas mejanya. Hafiz sedikit terkejut namanya di panggil dan dia bangun dengan segera.

“ermm..dosa besar yang saya tahu ustazah ialah menderhaka kepada ayah.” Hafiz menjawab soalan yang dikemukakan oleh Syahadah dan seakan tersipu malu dengan wajahnya yang hanya tunduk.

“betul Hafiz, bagus! tapi, kenapa ayah saja? Ibu, kamu tak sebut pun” Syahadah kehairan dan sengaja menanya soalan itu.

“ermm..sebab saya ada ayah saja, ibu dah tak ada” Hafiz tersenyum. Tetapi dari raut wajahnya kelihatan sedih.

Seakan terhenti nafas Syahadah seketika. Ditatap penuh makna wajah pelajarnya yang comel itu. Fikirannya seakan-akan mengingati sesuatu.

“tak apa. Ustazah pun cuma ada ayah saja. Kamu boleh duduk. Terima kasih Hafiz. Aha..betul jawapan Hafiz tadi. Salah satu dosa besar ialah menderhaka kepada ayah dan ibu. Kamu pernah buat ayah dan ibu kamu menangis tak? Kalau pernah buat mereka menangis, ustazah nak kamu minta maaf dengan mereka bila balik sekolah nanti ya, nanti jadi anak derhaka pula. Nauzubillah”

Pelajar mendengar dengan penuh khusyuk. Ada yang hanya mendengar dan tak lebih ada yang menulis. Tiba-tiba terdengar suara seorang pelajar, Ridwan dari hujung barisan tengah meja.

“ustazah...”

“ya Ridwan..”

“err..ustazah pernah buat ayah ustazah menangis tak?”

Syahadah tergamam mendengar soalan daripada anak muridnya itu. Fikirannya mula melayang. Hampir seminit Syahadah mendiamkan diri. Lamunannya terhenti apabila dia mula sedar dirinya diperhati oleh pelajar-pelajarnya. Dia hanya tersenyum tanpa menjawab soalan daripada muridnya sebentar tadi.

“Baik, kita teruskan dengan contoh lain, siapa lagi yang boleh beritahu ustazah?”

Keadaan dalam bilik tingkatan 4 Selasih kembali bising. Masing-masing ingin menjawab soalan. Beginilah kebiasaannya. Pelajarnya sangat aktif dan pintar. Namun, Syahadah masih memikirkan soalan tadi, yang tidak mampu untuk dia jawab.

**********
“Terima Kasih Ustazah!”

“Sama-sama. Masa beli makanan nanti, beratur baik-baik ya. Kalau cikgu nampak pelajar cikgu tolak-tolak pelajar lain, cikgu pulas..telinga nanti” Dengan nada tegas tetapi masih dengan senyuman.
“baik cikgu!”

Sesi pengajaran dan pembelajaran masa itu berjalan dengan baik dan lancar. Kelas yang senyap sejak tadi bertukar menjadi riuh rendah. Jam lonceng berbunyi menandakan waktu rehat bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Purnama. Syahadah mengemas buku dan barangannya diatas meja dan keluar dari bilik darjah sejurus selepas semua pelajarnya sudah keluar rehat. Kakinya melangkah dengan lemah lembut tetapi pantas menuju ke arah bilik guru.

**********

Syahadah meletakkan beg dan bukunya di atas meja guru miliknya, sambil matanya memerhatikan sekeliling bilik guru yang sunyi disebabkan waktu rehat ketika itu. Dia duduk dan memandang mejanya yang dapat membuatkan hatinya tenang dan bibirnya tersenyum. Tiga tahun mengajar di sekolah itu, mejanya sentiasa kemas dan cantik ditambah dengan hiasan bunga-bunga kecil kesukaannya dan hadiah-hadiah hari guru daripada pelajar-pelajarnya. Namun, bibir terhenti mengukir senyuman. Soalan pelajarnya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran tadi masih berlegar-legar diruang fikirannya.

Pandangan Syahadah terhenti disudut kiri mejanya. Terletak sebuah potret yang dahulunya, dialah lelaki yang paling dibenci oleh Syahadah di dunia ini. Tetapi kini, dialah lelaki yang paling disanjung dan dikasihi olehnya. Dialah segala-segalanya di dunia ini selepas Allah SWT dan Rasul. Dialah ayah. Jika bukan kerana ketegasan ayahnya menjaga Syahadah, sudah tentu dia bukan Syahadah yang sekarang.

Bersambung..

Nota Kaki : Syahadah Kasih Ayah 2


You Might Also Like

2 comments

  1. org utara xsebut kejaq. depa sebut ligan.. hehe

    ReplyDelete
  2. @naqib saad

    ow ligan, haha ok cikgu.
    sorrylah guna bahasa sabah tulis ni hehe
    dah habis study ka?

    ReplyDelete